Saturday, August 20, 2011

Malam Lailatul Qadar



Kata sesetengah ulama, Lailatulqadar berlaku pada satu malam tertentu seperti malam 21 dan 23 Ramadan. Ini menurut Imam Syafie r.a dan sesetengah ulama kerana ada hadis Bukhari dan Muslim yang menceritakan Lailatulqadar berlaku pada malam tersebut sehingga Rasulullah saw sujud dan dahinya yang mulia masih berlumuran tanah pada malam itu. Ada sesetengah ulama, tidak menentukannya secara pasti dan ada juga ulama terutama dari kalangan para zuhad dan sebagainya mengira dengan hari permulaan puasa.

Menurut mereka sekiranya permulaan puasa jatuh pada hari :

  • Ahad atau Rabu = Lailatulqadar ialah pada hari yang ke-29.
  • Jumaat atau Selasa Lailatulqadar ialah pada hari yang ke-27.
  • Khamis = Lailatulqadar ialah pada hari yang ke-25 Ramadan.
  • Sabtu = Lailatulqadar ialah pada hari yang ke-23.
  • Isnin = Lailatulqadar ialah pada hari yang ke-21.

Demikianlah kaedah yang diguna pakai oleh sebahagian ulama termasuk Imam Abul Hasan r.a. Tegas beliau: Aku tidak pernah terlepas malam Lailatulqadar tersebut dengan menggunakan kaedah ini.

Tanda Dan Alamat
Tanda dan alamatnya adalah banyak, antara lain malam itu sendiri berlalu dengan penuh keheningan dan tenteram, angin bertiup lembut sepoi-sepoi bahasa dan esoknya, pada pagi hari kelihatan langit agak redup dan cahaya matahari tidak begitu menyinari ruang angkasa dan macam-macam lagi.

Hikmah
Hikmatnya ialah apabila seseorang mengetahui malam Lailatulqadar tersebut, maka eloklah diperbanyakkan doa dan istighfar juga ibadat pada malam dan keesokannya, untuk mendapatkan fadilat hari yang penuh berkat dan mulia itu. Yakinlah apabila seseorang itu bersedia setiap malam Ramadan dengan ibadat, sekurang-kurangnya bersolat jemaah setiap waktu, Maghrib, Isyak dan Subuh, kata ulama dia pasti memperoleh fadilat malam Lailatulqadar

Oleh itu bersolatlah dengan tekun dan berterusan terutama pada bulan Ramadan al-Mubarak ini. Walau tinggal beberapa hari saja lagi malam-malam di bulan Ramadhan, pastikan kita menjadi juara diakhirnya nanti. Semoga Ramadhan kali ini menjanjikan kita kemenangan. Kemenangan melawan dan menguasai hawa nafsu. InsyaAllah.

Thursday, August 11, 2011

Siapakah Yusuf Taiyoob?


PROFIL

NAMA: Datuk Yusuf Taiyoob
JAWATAN: Pengarah Urusan Yusuf Taiyoob Sdn Bhd
ASAL: Georgetown, Pulau Pinang
ISTERI: Datin Yusnita Ramli
ANAK: Waseem (9), Safiya (6) dan Safina (3)
ADIK-BERADIK: Anak sulung daripada empat beradik
JENIS PERNIAGAAN: Kurma, makanan dalam tin, rempah, makanan kering dan jus buah-buahan

Siapakah Yusuf Taiyoob?

SEMANGAT kental yang ada pada pemilik Yusuf Taiyoob Sdn Bhd, wajar dicontohi generasi muda, khususnya yang menyimpan cita-cita meneroka bidang perniagaan.

Datuk Yusuf Taiyoob, 47 pemilik syarikat kurma dan makanan berpangkalan di Pulau Pinang itu pernah muntah darah kesan pendarahan yang serius dalam perut kerana berdepan tekanan apabila perniagaan pertamanya, penjualan minyak wangi di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, jatuh merudum walaupun mendapat sambutan menggalakkan di peringkat awal.


Ketika itu, usianya baru 19 tahun. Akibat tekanan hebat dan tidak dapat menghadapi kenyataan pada usia muda, beliau tidak dapat tidur malam dan menjaga pemakanan sehingga pada satu malam dia dikejarkan ke hospital dalam keadaan separuh sedar.

"Orang tua saya fikir saya akan mati apabila lihat banyak darah keluar, nasib baik cepat mendapat rawatan.

"Doktor kata, kalau saya ini orang tua, saya sudah pergi dulu (meninggal dunia)," katanya mengimbau jatuh bangunnya dalam dunia perniagaan dalam satu pertemuan di pejabatnya di Plaza MWE, Georgetown, Pulau Pinang.

Yusuf yang sebak menceritakan pengalamannya berkata, kejadian itu masih berbekas di hatinya kerana mengingatkan tiada sesiapa yang dapat membantunya kecuali diri sendiri dan keluarga rapat.

Banyak cabaran yang terpaksa dilaluinya sebelum mencapai tahap sekarang. Katanya, beliau pernahdihalau dan produknya dicampak begitu saja tanpa dilihat terlebih dulu.

"Saya bersusah payah ke Kuala Lumpur untuk mempromosi minyak wangi yang saya adun sendiri. Bukan saja syarikat berpengaruh itu tidak mahu menjual, minyak itu dibaling begitu saja," katanya.

Namun, cabaran yang dihadapi itu sama sekali tidak melemahkan semangatnya, malah selepas peristiwa muntah darah serius sehingga tubuh badan kurus akibat perniagaan merudum, beliau terus mencari peluang untuk membuka perniagaan baru di lokasi lain.

"Saya bernasib baik mendapat sokongan ibu bapa dan datuk yang sebelum ini biasa terbabit dalam perniagaan. Pada masa itu, saya juga masih muda, ada peluang, untuk tukar haluan.

"Selepas keluar hospital dan berehat seketika, saya bertekad memulakan perniagaan lain denganmengimport makanan termasuk kurma secara kecilan," katanya.

Ketabahannya itu membuahkan hasil apabila perniagaannya berkembang maju sehingga beliau mampu menjadi pengeluar dan pembekal kurma dan makanan untuk pasaran tempatan serta negara jiran termasuk Singapura, Indonesia dan Thailand.

Kini, anak sulung daripada empat beradik itu mempunyai lebih 1,000 pengedar di negara ini tidak termasuk di luar negara dan hampir 50 kakitangan di pejabatnya. Bilangan pekerja itu tidak termasuk pekerja di tiga gudang di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
Beliau yang enggan memberitahu nilai jualan syarikatnya, berkata kini syarikatnya membekal 35 jenis kurma seperti Rotab Bam, Safia, Mariami, Safawi, Ajwa, Jewel, Ajmal dan Anbara pada harga antara RM3 hingga RM120 sekilogram. Kurma itu diperoleh dari Asia Barat dan Afrika Selatan, termasukTunisia, Oman, Iran, Arab Saudi, Mesir dan Jordan.

"Saya pilih buah berkualiti tinggi berbanding yang ada di pasaran. Pelanggan kami mengetahui kualiti buah ini dan sanggup berbelanja lebih untuk mendapatkannya," katanya.

Syarikatnya juga mengimport pelbagai makanan kering seperti rempah ratus untuk masakan dan bahan membuat kuih-muih dari pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat.

Dengan tempahan yang semakin memberangsangkan di beberapa negara Asia Tenggara, memaksa syarikat yang kian berkembang untuk memiliki kilang sendiri bagi menempatkan stok dan membungkus produk dengan jenama sendiri, Yu Ta.

Kilang yang dibina di kawasan seluas hampir lima hektar di Bukit Minyak, Seberang Prai Tengah, bakal siap sepenuhnya menjelang Mac depan dengan kos RM20 juta.

"Harapan saya jenama Yu Ta menjadi sinonim di kalangan masyarakat negara ini dan luar negara pada masa depan.

"Saya juga berharap perniagaan saya ini berkembang maju bagi membolehkan saya membantu masyarakat yang memerlukan," katanya.

Bapa kepada tiga anak yang berusia satu hingga tujuh tahun, berkata rezeki yang diperoleh itu sentiasa dikongsi bersama golongan kurang bernasib baik pada sepanjang masa.

"Saya tidak pernah hadkan sumbangan saya, namun saya tidak suka memberi kepada sebarangan orang yang meminta.

"Saya akan pastikan mereka yang menerima golongan yang layak, kerana duit yang diperoleh bukan jatuh terus dari langit," katanya.

Kesibukannya yang bertugas dari pagi hingga malam, termasuk hari cuti tidak menghalang daripada menjalankan kerja kemasyarakatan.

Bagaimanapun, beliau tidak berminat dengan jawatan walaupun sering ditawarkan pelbagai jawatan seperti ahli lembaga pengarah pertubuhan di Pulau Pinang.

"Biarlah saya tumpukan kepada perniagaan dan hasilnya saya kongsi kepada golongan yang memerlukan," katanya.

Yusuf juga jarang bersukan termasuk golf yang digemari ahli korporat lain.

"Saya habiskan masa di rumah dengan keluarga jika tiada urusan di luar," katanya sambil menambah kejayaan yang diperoleh dapat membantu golongan kurang bernasib baik.

"Itu sudah menjadi kewajipan kita dan saya sendiri tidak pernah bermimpi untuk mencapai hingga tahap ini," katanya yang menerima pelbagai anugerah termasuk yang membawa gelaran Datukdaripada Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas pada 2002 dan baru-baru ini.

Pelaburan RM20 juta bina kilang canggih

PENGELUAR dan pembekal kurma serta makanan import, Yusuf Taiyoob Sdn Bhd, menjangkakan pertumbuhan jualan sehingga 40 peratus daripada kira-kira RM60 juta setahun sekarang apabila kilang barunya di Bukit Minyak, Seberang Prai Tengah, siap Mac tahun depan.

Pengerusinya, Datuk Yusuf Taiyoob, 47, berkata kilang baru serba canggih di tapak seluas lima hektar membabitkan pelaburan RM20 juta itu membolehkan syarikat menghasilkan keluaran yang lebih tinggi pada bila-bila masa
menggunakan teknologi moden.

Secara tidak langsung, katanya, ia juga dapat mengurangkan kos operasi syarikat yang selama ini terpaksa menyewa gudang bagi menempatkan stok dan bekalan dalam kuantiti besar.

"Kilang ini mampu menempatkan 700 kontena stok makanan sejuk dan kering pada satu masa, yang diimport dan diproses semula dengan jenama Yu Ta singkatan nama Yusuf Taiyoob.

"Ia menjadikan kilang ini sebagai pusat pengeluaran dan pembekalan bahan makanan basah dan kering terbesar di utara Semenanjung sebelum diedarkan ke pasaran tempatan dan negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Singapura," katanya.

Yusuf berkata, apabila siap kelak, kilang itu mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih 50 penduduk setempat.

"Bagi keperluan jangka panjang, syarikat juga membeli sebuah bangunan warisan dua setengah tingkat di Lebuh Bishop, Georgetown untuk pelaburan masa depan," katanya.

Mengenai persiapan syarikat memenuhi permintaan bekalan kurma dan produk makanan lain pada Ramadan dan Aidilfitri ini, Yusuf berkata, sebanyak 3,000 tan metrik pelbagai jenis kurma diimport untuk pasaran negara ini.

Ia tidak termasuk produk makanan lain seperti bahan untuk membuat kuih, masakan seperti rempah-ratus dan kacang serta makanan kering yang diimport dan diedar secara borong kepada lebih 1,000 pengedar di seluruh negara.

Pihaknya mensasarkan jualan sebanyak RM20 juta bagi musim perayaan ini iaitu peningkatan sebanyak 30 peratus berbanding musim sebelum ini.

"Jualan setiap tahun memberangsangkan kerana pelanggan kami mengetahui kualiti produk kami yang bermutu dan dijual pada harga berpatutan," katanya.

INFO

Syarikat pertama ditubuhkan ialah Yusuf Cosmetic pada 1979. Selepas dua tahun beroperasi, syarikat pertama ditutup dan menubuhkan Yusuf Taiyoob Sdn Bhd (1988).

Membekal 100 produk makanan dan 35 jenis kurma. Produk diimport dari Asia Barat, Eropah dan Amerika Syarikat sebelum dieksport menggunakan jenama Yu Ta ke negara jiran termasuk Indonesia, Thailand, Singapura dan Brunei.

Tuesday, August 9, 2011

Perihal Tali Gantung





Diceritakan oleh Mr. Samuel...

Tali gantung yang diimport ini diperbuat dari jenis jut yang paling bagus dan dibalut dengan kulit lembut supaya tidak mencederakan kulit banduan yang akan digantung.

Setiap satu berharga di antara RM4,000 satu hingga RM5,000. Tali gantung ini semasa diterima daripada ejen pembekalnya akan diuji ketahanannya dengan menggantungkan patung seberat lebih 90 kilo selama 72 jam.


Setiap tali gantung ini mempunyai nombor siri dan ia diklasifikasikan sebagai senjata dan disimpan di dalam peti besi. 'Setiap tali gantung kita terima ada perkiraannya. Kita tak boleh poie terus dan pasang, ada cara-cara yang kita kena ikut. Kita ada empat jenis tali dan kita pilih mengikut berat banduan,' jelas Samuel. Di antara ciri utama tali gantung ialah tembaga pembunuh yang berfungsi untuk mematahkan tengkok banduan.

APABILA RAYUAN DITOLAK

Di Penjara Kajang umpamanya banduan yang dijatuhi hukuman gantung dikenali sebagai banduan akhir dan ditempatkan di Blok Abadi sehingga hukuman dilaksanakan.

Mereka ini menghabiskan hampir 23 jam sehari sendirian di sel mereka dan hanya boleh meninggalkan sel atas kelulusan pegawai yang bertugas.

Banduan akhir mungkin terpaksa menunggu bertahun-tahun sehingga habis keseluruhan proses rayuan yang membabitkan Mahkamah Rayuan, Mahkamah Persekutuan dan Jemaah Pengampunan Negeri.

Sekiranya rayuan kepada Badan Pengampunan ini juga ditolak, Mahkamah Persekutuan akan mengeluarkan waran untuk melaksanakan hukuman di mana di dalam waran itu akan disebut nama banduan, nombor kad pengenalannya serta masa hukuman akan dijalankan iaitu di antara 5.30 pagi hingga 6.30 pagi.

'Kita diberi satu jam untuk laksanakan hukuman. Untuk banduan beragama Islam biasanya kita akan jalankan hukuman gantung ini pada hari Jumaat, selepas solat subuh. Bagi yang bukan Islam, waktunya lebih kurang sama, cuma harinya boleh berbeza,' kata Samuel.

Selepas waran dikeluarkan, banduan akhir akan dibawa berjumpa dengan pengarah penjara yang akan memaklumkan tentang pelaksanaan hukuman gantung selepas segala proses rayuan terakhir ditolak.

'Biasanya banduan akhir ini akan tahu apabila dia dibawa keluar dengan tangan bergari dan ada kawalan ketat, dia tahu keesokan harinya sesuatu yang buruk akan berlaku (dia akan digantung),' kata Samuel.

Semasa banduan akhir berada di bilik pengarah ini, kaum keluarganya yang biasanya sudah dimaklumkan seminggu lebih awal sudah menunggu di luar penjara untuk 'perjumpaan terakhir.' Lazimnya suasana dan pilu akan menyelubungi setiap perjumpaan terakhir ini. Banduan juga diberi pilihan untuk 'hidangan terakhir' bernilai RM7.50.

HARI PENGGANTUNGAN

Menurut Samuel, kebanyakan banduan akhir yang menjalani hukuman gantung 'poie dengan rela' setelah menunggu begitu lamo untuk hukuman dilaksanakan.

'Mereka yang rajin sembahyang, tak kira agama, menunggu dengan tenang dan sudah bersedia. Ada beberapa orang sahaja yang menjadi agresif sehingga ke saat-saat terakhir.

' Ada sesetengah banduan puas hati dan beritahu saya nasib mereka lebih baik dari saya kerana mereka tahu bila mereka akan mati. Bila kita buka pintu untuk bawa mereka keluar ke bilik gantung, ada yang
salam dengan kita dan ucap terima kasih. Mereka kata mereka dah tak tahan lagi menunggu,' katanya.

Di hari mereka diberitahu hukuman gantung akan dijalankan, mereka akan meminta pena dan kertas untuk nota terakhir. 'Jangan ikut tabiat buruk ayah' antara kata-kata terakhir seorang banduan untuk anak-anaknya, yang masih Samuel ingat. Banduan juga boleh memilih pakaian apa yang hendak dipakainya pada hari hukuman.

' Ada banduan beragama Islam hanya mahu pakai kemeja T dan seluar sembahyangnya. Ada yang memilih kot dan tali leher. Ada yang pakai kasut berharga RM300. Mati penuh gaya . Banduan itu kata dengan jenaka,' cerita Samuel.

Hukuman gantung pula hanya dijalankan selepas semua pihak termasuk pengarah dan doktor berpuas hati dengan keadaan banduan pada hari hukuman akan dilaksanakan.

BILA PINTU PERANGKAP RENGGANG

Pintu perangkap di bilik gantung di mana banduan akhir berdiri akan secara automatik renggang sepenuhnya bila 'gear' ditarik. Di bawah lantai pintu perangkap ada ruang kosong dengan ketinggian
5.18 meter.

Bunyi pintu perangkap yang terbuka dengan kuatnya memecah kesunyian suasana penjara.

Menurut Samuel, proses menggantung dari masa banduan dibawa keluar dari bilik menanti ke bilik gantung dan pengarah memberi isyarat kepada tukang gantung untuk menarik 'gear' yang akan antaranya membuka pintu perangkap hanya mengambil masa kira-kira 15 saat.

Semuanya perlu dibuat dengan lancar dan menurut Samuel, kematian berlaku dalam masa di antara 30 saat hingga satu minit dan banduan akan diturunkan dan diletak di atas troli selepas setengah jam
dibiar tergantung.

'Saya sering mengingatkan pembantu-pembantu saya supaya menghormati jenazah kerana dia sudah menjalani hukuman. Kalau kita hormat pada dia, semuanya tak ada masalah.

'Bagi saya pula, kebiasaannya saya akan pandang muka jenazah ini dan letakkan tangan saya di atas dadanya. Ini petua yang diberi oleh bos-bos saya dulu,' kata Samuel.

Menjalankan tugas khas ini memberikan banyak keinsafan kepada Samuel. Beliau menasihatkan ibu bapa supaya memupuk nilai-nilai murni kepada anak-anak mereka untuk mengelak mereka terjerumus melakukan jenayah.

'Segala-galanya bermula dari keluarga. Kalau keluarga tak kawal, lingkup. Dadah, umpamanya, kalau seorang dalam keluarga jadi penagih, satu keluarga akan terjejas,' katanya sambil menjelaskanbahawa kebanyakan kes hukuman gantung adalah berkaitan dengan dadah.

--Amirshah

p/s: menarik gak info ni..org Islam yg kena hukum gantung semua digantung hari Jumaat tau..bukan senang nak dpt kelebihan mati hari Jumaat...hmmm...."